Tanah Untuk Pembinaan Dewan Bandaraya Miri Tidak Dibeli Pada Tahun 2004

RABU, 15 DISEMBER 2021

MIRI: Tanah bagi pembinaan bangunan Dewan Bandaraya Miri tidak dibeli pada tahun 2004.

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan media pada Rabu menjelaskan, pada ketika itu Majlis Perbandaran Miri masih lagi dalam proses memohon Miri untuk dinaik taraf sebagai sebuah bandar.

“Majlis Perbandaran Miri ketika itu belum mempunyai sebarang perancangan lagi dan tiada sebarang peruntukan dana untuk membeli tanah untuk membina bangunan dewan berkenaan.

“Namun begitu, terdapat cadangan daripada pemaju untuk membina bangunan dewan bandaraya tetapi bukan di atas tanah tapak bangunan dewan bandaraya yang sedia ada,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu lagi, cadangan itu kurang diambil perhatian memandangkan pada masa itu, cadangan peningkatan status Miri kepada bandar masih dalam peringkat permohonan dan tiada rancangan konkrit untuk membina dewan bandaraya dan tiada peruntukan dana untuk pembelian tanah.

MBM turut memberitahu, pengambilan tanah untuk membina bangunan Dewan Bandaraya Miri yang sedia ada kini telah dimuktamadkan dan diluluskan pihak berkuasa tanah pada 25 Oktober 2018.

Tegasnya, pengambilan tanah telah dilaksanakan mengikut keperluan kewangan Kerajaan Sarawak berkaitan perolehan tanah termasuk penarafan dan penilaian tanah.-EDISI UKAS

add comment