RABU, 15 DISEMBER 2021
KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berjaya menganjurkan ‘International Conference on Design for Sustainable Living’ (ICDeSL) 2021 yang pertama pada 13 hingga 15 Disember 2021 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Persidangan ini bertujuan untuk menyediakan ruang kepada ahli akademik, bukan ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta di Sarawak untuk memupuk dan mengubah pemikiran, idea dan penyelidikan mereka kepada hasil yang mempunyai nilai berpotensi tinggi.
Ianya juga untuk membantu dalam proses pemulihan pandemik COVID-19 dari segi sains semula jadi, kejuruteraan dan teknologi, pendidikan, kemanusiaan dan yang berkaitan dengan industri sains sosial.
Majlis penutupan persidangan tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datu Kameri Affandi bagi mewakili Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr. Annuar Rapa’ee, pada Rabu.
Datu Kameri dalam pada itu, mengucapkan tahniah kepada UiTM Sarawak yang telah melaksanakan persidangan tersebut yang bertemakan ‘Scientific And Societal Approaches In Combating Disease Outbreaks’ untuk membantu membina rangka kerja yang berkesan bagi bandar mampan dan perbandaran mampan ketika pandemik COVID-19 yang mencabar ini.
Beliau yakin bahawa ICDeSL 2021 ini adalah titik permulaan bagi memberikan manfaat kepada pembangunan yang mampan di bandar.
“Saya percaya bahawa penutupan persidangan ini bukanlah penamat, tetapi titik permulaan yang baru.
“Mari kita membina status semasa kita dan melihat ke masa hadapan termasuk membina platform yang aktif dan berhemat untuk komunikasi serta kerjasama global untuk menjadikan penemuan penyelidikan bermanfaat kepada pembangunan mampan dan kepada rakyat yang telah menikmati dan akan menikmati kehidupan bandar,” katanya.
Dalam program sama, penyampaian anugerah turut diadakan seperti ‘Best Paper Award’, ‘Platinum Award for Creative and Innovative Project’ untuk empat kategori, ‘Most Inspiring Paper Award’ dan ‘Inspiring Project Award’.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Industri, Komuniti & Alumni) UiTM, Prof. Dr. Mohamad Hariri Abdullah, Rektor UiTM Sarawak, Prof. Dato Dr. Jamil Hamali, Timbalan Rektor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) UiTM Sarawak merangkap Pengerusi ICDeSL 2021, Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UiTM, Prof. Dato Dr. Abu Bakar Abdul Majeed. -EDISI UKAS