Beri Sokongan Berterusan Kepada GPS, Teruskan Kesinambungan Pembangunan Di Balai Ringin

KHAMIS, 16 DISEMBER 2021

SRI AMAN: Masyarakat di kawasan Balai Ringin perlu terus mempertahankan kepimpinan kerajaan Sarawak bagi meneruskan kesinambungan pembangunan melalui kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Calon GPS bagi Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.30 Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan memberitahu, penduduk setempat perlu terus kekal memberikan sokongan kepada GPS dan beliau akan sentiasa berdiri teguh dengan mereka bagi meneruskan kelangsungan pembangunan.

Beliau berkata demikian semasa menyantuni penduduk di Balai Raya Rumah Satin Suyang, Kampung Gawang, pada Rabu.

Datuk Snowdan menambah, kawasan Balai Ringin amat bertuah kerana mempunyai banyak bantuan termasuk projek pembangunan diberikan oleh kerajaan Sarawak selama ini.

Beliau juga menegaskan agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah pihak pembangkang yang mengelirukan pemikiran dalam usaha meraih undi masyarakat.

Selain itu, Datuk Snowdan turut menasihatkan para pengundi untuk turun lebih awal memandangkan masa pengundian adalah terhad pada 18 Disember ini. -EDISI UKAS

add comment