Betong Kaya Dengan Produk Pelancongan Menarik

KHAMIS, 16 DISEMBER 2021

BETONG: Bahagian Betong kaya dengan produk pelancongan yang menarik dan mampu menjadi daya tarikan pelancong dari dalam ataupun luar negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri berkata Betong mempunyai banyak produk pelancongan berasaskan alam semulajadi, eko-pelancongan, adventure tourism, cultural tourism, heritage tourism dan banyak lagi.

Beliau memberi contoh keunikan rumah panjang, produk alam semulajadi di Spak (cleanwater), Bukit Sadok, air terjun dan keunikan adat serta budaya yang masih dikekalkan sehingga menjadikan Sarawak khususnya Betong harus dibangunkan sebagai produk pelancongan.

Ini jelasnya akan membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan tambahan dalam sektor pelancongan.

Berucap dalam Majlis Perasmian Program Aspirasiku Bersama Belia Bahagian Betong bertempat di Dewan Sri Metro Gemilang, Politeknik Metro Betong Sarawak pada Rabu, Dato Sri Nancy menyambut baik inisiatif Politeknik Metro Betong Sarawak dengan menjadikan institusi pengajian tinggi itu sebagai platform untuk para pelajar menimba ilmu berkaitan dengan pelancongan dan hospitaliti.

“Kepada para belia di Betong, ambillah peluang untuk mempelajari selok-belok mengenai pelancongan kerana peluang ini merupakan peluang yang besar di kala pembukaan ekonomi secara berperingkat dalam sektor pelancongan.

“Siapnya Lebuhraya Pan Borneo serta Lapangan Terbang Bebuling, Spaoh nanti akan membantu meningkatkan jumlah pelancong hadir ke Betong.

“Persiapan dari segi kemahiran mengendali pelancong, pemandu pelancong, termasuklah sektor makanan dan minuman, perhotelan, pengangkutan, tempat pelancongan dan tarikan hendaklah disiapsiagakan,” katanya.

Jelas Dato Sri Nancy, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030: Ke Arah Pengukuhan Industri Pelancongan Negara yang akan dilaksanakan mengikut enam teras strategik iaitu transformasi tadbir urus; mewujudkan zon pelaburan bagi projek pelancongan inklusif; mempergiatkan digitalisasi pelancongan; memperkaya pengalaman dan kepuasan pelancong; memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub sektor pelancongan.

Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang digubal berasaskan lima prinsip dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebangaan, keterbukaan dan menyeluruh.

“DAKEN juga mempunyai tujuh teras utama yang digariskan iaitu Budaya Nilai Tinggi; Keharmonian Masyarakat; Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya; Pembangunan dan Pengembangan Budaya; Pemerkasaan Budaya; Penjayaan Ekonomi Budaya dan Kecemerlangan Budaya,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Zurina Zainal Abidin Shah; Pengarah Politeknik Metro Betong Sarawak, Suhaili Aleh dan Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas. – EDISI UKAS

add comment