Nilai Kebersamaan Sandaran Kepada Dasar Inklusif Dan Kepentingan Kaum Di Sarawak

KHAMIS, 16 DISEMBER 2021

LIMBANG: Sarawak mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya yang diharus bersatu padu bagi menjamin kestabilan dan keharmonian kehidupan rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tiada satu pun kaum di negeri ini yang dapat memerintah secara bersendirian melainkan bekerjasama di antara satu dengan yang lain.

“Dari dulu hingga sekarang kita menekankan kebersamaan dengan mengamalkan dasar inklusif dan mengambil kira kepentingan masyarakat sama ada kaum yang majoriti ataupun minoriti. Inilah asas kepada kestabilan dan kerajaan yang kuat di negeri ini. 

“Maka, dengan adanya kerajaan yang kuat dapatlah kita menumpukan kepada usaha untuk membawa pembangunan dan menjamin keselamatan serta dapat membina asas-asas yang kukuh untuk masa depan generasi muda kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan RPR Batu Biah Limbang pada Rabu. 

Hadir sama Speakar Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga calon GPS DUN N.79 Bukit Kota, calon GPS DUN N.80 Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Ketua Jentera GPS DUN N.79 Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat.-EDISI UKAS

add comment