Platform Digital Penting Untuk Rakyat, Kemajuan NegeriPlatform Digital Penting Untuk Rakyat, Kemajuan Negeri

KHAMIS, 16 DISEMBER 2021

LAWAS: Platform digital telah banyak mengubah cara hidup rakyat Sarawak di bandar dan luar bandar dan ia dilihat penting terutama sekali apabila negara dilanda dengan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perubahan ini juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan wilayah Sarawak maju menjelang 2030.

“Kita bersyukur Ketua Menteri kita memperkenalkan digital ekonomi ini pada tahun 2017. Mula-mula ada antara masyarakat kita yang was-was.

“Apabila kita dilanda pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat di seluruh dunia.

“Maka dengan itu kerajaan membantu rakyat yang terjejas dengan perbelanjaan lebih daripada RM5.3 bilion untuk mereka,” katanya dalam Majlis Pelancaran GoDigital Sarawak di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Khamis.

Tambah Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Terminal Industri dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak itu, setelah dilancar digital ekonomi, masyarakat di bandar dan luar bandar cuba untuk menggunakan digital platform ini untuk terlibat dalam perniagaan dalam talian.

“Ini kerana dalam tempoh dua tahun semasa sambutan perayaan tidak diadakan dan tiada bazar Ramadhan, mereka mencatat jumlah jualan lebih daripada RM100 juta.

“Inilah antara kepentingan digital ekonomi. Alhamdulillah dengan cara ini dapat kita meneruskan usaha -usaha kita,”ujar beliau lagi.

Hadir sama, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.-EDISI UKAS

add comment