PRN Sarawak: Kempen Abdullah kini merangkumi 95 peratus kawasan DUN Semop

KHAMIS, 16 DISEMBER 2021

SEMOP: Dengan kempen berbaki cuma dua hari, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol telah bergerak meliputi 95 peratus kawasan merangkumi kampung dan rumah panjang.

Patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), beliau berkata corak atau pendekatan kempennya ialah dengan bergerak dalam kumpulan yang terkawal untuk singgah sekejap secara santai sambil menyerah bahan kempen seperti risalah dan topi.

“Saya tidak ada langsung melakukan program memberi ucapan atau ceramah secara langsung di dalam mana-mana dewan yang memerlukan masyarakat kampung atau rumah panjang berhimpun.

“Perhimpunan dalam dewan memerlukan permit polis dan saya tidak melakukan aktiviti dalam dewan kerana sukar untuk mengawal kedatangan dan kapasiti dewan yang terhad,” ujarnya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya, pasukan penguatkuasa – anggota polis, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kakitangan Kementerian Kesihatan – sentiasa memantau pergerakannya.

“Saya tidak mahu melanggar etika dan peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan.

“Secara amnya, agensi-agensi yang terlibat dalam penguatkuasaan peraturan pilihan raya dan kawalan di setiap program telah melakukan tugas mereka dengan baik dan tegas,” katanya.

Meskipun kekok dengan SOP pilihan raya kali ini, beliau mengakui penguatkuasaan dan kawalan oleh agensi-agensi kerajaan sangat diperlukan demi mencegah penularan COVID-19. Ia mesti dihormati, ujarnya.

Selain bergerak dalam keadaan terkawal, beliau dan jenteranya memanfaatkan media sosial untuk berkongsi video dan sebagainya.

Mengenai peluang menang, Abdullah berkata beliau yakin para penduduk yang sentiasa menyedari kehadirannya dalam setiap lawatan kerja sepanjang mewakili kawasan DUN Semop serta melihat sendiri sumbangan dan hasil kerjanya akan tahu memilih calon yang mampu bekerja dan berkhidmat.

“Majoriti penduduk DUN Semop masih ingat dan terus menghargai pelbagai bantuan dan sumbangan yang mereka terima semasa dalam keadaan genting dan sukar ketika diancam pandemik selama hampir dua tahun.

“Selama ini kebanyakan kritikan adalah dari kumpulan-kumpulan yang tidak tinggal di kampung atau rumah panjang serta kurang mendapat maklumat sahih dan betul,” jelasnya.

Beliau turut yakin penduduk diwakilinya selama dua penggal sejak 2011 tahu siapa yang ikhlas bekerja bersungguh-sungguh dan siapa hanya pandai bercakap.

“Mereka juga menyedari GPS akan menang dan menubuhkan kerajaan, justeru mereka mahu wakil rakyat mereka berada di pihak kerajaan yang mentadbir negeri supaya peruntukan pembangunan terus disalurkan dengan mudah ke kawasan mereka dan kebajikan mereka juga terus terpelihara.

“Mereka tahu dan sedar, jika wakil rakyat mereka di pihak pembangkang, mereka mungkin akan menghadapi keadaan yang sukar untuk lima tahun akan datang,” katanya. – EDISI UKAS

add comment