Golongan Belia Di Sarawak Perlu Kuasai Teknologi Digital

JUMAAT, 17 DISEMBER 2021

MUKAH: Golongan belia negeri ini perlu bersedia untuk menguasai teknologi digital bagi menggerakkan dasar ekonomi digital yang sedang Kerajaan Negeri Sarawak laksanakan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata penguasaan dalam ekonomi digital penting dalam usaha membawa Sarawak menjadi negeri maju pada tahun 2030.

Tambahnya lagi, teknologi digital perlu dikuasai kerana ia akan mengubah corak dan budaya hidup manusia di masa akan datang.

“Kalau dulu kita ada revolusi industri. Selepas itu berhijrah kepada ‘mass production’, kemudian berpindah ke ‘knowledge economy’ yang berteraskan ilmu. Sekarang ini berpindah bukan sahaja ke arah ‘knowledge economy’, tetapi juga berteraskan kepada teknologi.

“Teknologi ini berubah dengan cepat. Sebab itu apabila berdialog dengan belia, mereka mengutarakan mahu kelajuan Internet yang maju. Ini membuktikan mereka sudah sedar apakah masa depan di hadapan mereka yang berkisar kepada teknologi.

“Justeru, kita di Sarawak menggubal Dasar Ekonomi Digital yang berteraskan pendekatan pembangunan hingga tahun 2030,” katanya berucap semasa menyampaikan amanat sempena perasmian Jelajah Belia Sarawak @ Mukah 2021 pada Jumaat.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat atau ‘sovereign fund’ untuk manfaat generasi akan datang sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 esok.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menekankan penglibatan golongan belia dalam bidang sukan.

Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan banyak pembinaan prasarana sukan di seluruh Sarawak untuk membolehkan belia yang berpotensi dalam bidang sukan menjalani latihan.

“Kita telah banyak memberikan kelulusan kepada mini sukan, mini stadium di seluruh Negeri Sarawak untuk melatih para belia dan sukan,” katanya.

Berucap lanjut, Ketua Menteri turut menggalakkan belia di Sarawak mengetengahkan bakat dalam seni persembahan atau ‘performing art’ di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, dengan adanya stesyen TV Sarawak milik kerajaan negeri, bakat persembahan anak-anak seni Sarawak kini berpeluang diketengahkan ke luar negara.

“TV kita (TVS) ada persefahaman dengan luar negara termasuk stesyen TV di Thailand. Sebab itu ada telemovie Thailand dalam saluran TVS. Jadi drama dihasilkan kita turut disiarkan dalam saluran TV di Thailand.

“Kalau persembahan kita baik, kita boleh berkongsi dengan negara lain, jadi pelakon dan budayawan kita setanding dengan negara luar,” tambahnya.

Untuk itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri telah mengambil inisiatif akan membangunkan Panggung Budaya Sarawak bertempat di Dewan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama untuk meningkatkan bakat anak seni tempatan.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapan aluannya berkata program tersebut merupakan siri ke-20 daripada 40 siri yang telah dirancang oleh kementeriannya sejak 2019.

Katanya, sejak pelaksanaan program itu pada 2019, seramai 19,050 orang belia dari seluruh Sarawak telah terlibat.

Tambah Dato Sri Abdul Karim, kementeriannya juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif kepada golongan belia bagi membantu menghadapi pelbagai cabaran di masa hadapan terutama dari segi ekonomi, sosial, politik dan teknologi.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kenamaan yang lain. – EDISI UKAS

add comment