Pilih Pemimpin Tepat Demi Masa Depan: Pengerusi GPS

JUMAAT, 17 DISEMBER 2021

KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menzahirkan harapan agar penduduk Sarawak membuat keputusan tepat dalam membuat pilihan terbaik pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada esok, 18 Disember 2021.

Ketua Menteri Sarawak itu memberi jaminan dengan mandat penuh rakyat Sarawak, GPS akan meneruskan usaha untuk memastikan keselamatan awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi untuk Sarawak, pada masa sekarang dan masa depan.

“Pasukan GPS akan meneruskan agenda pembangunan sosio-ekonomi bagi mewujudkan sumber kekayaan baru, menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk belia dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau dalam kenyataan ‘Seruan Kepada Semua Pengundi di Sarawak’ pada Jumaat yang diterbitkan dalam empat bahasa turut memberi jaminan GPS akan memastikan kemakmuran Sarawak yang berterusan agar rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang terancang, holistik dan inklusif.

Tambahnya, ia sejajar dengan komitmen GPS melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Malaysia.

“Ini terbukti dengan lulusnya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 (Selasa),” tambahnya.

Dalam kenyataan sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, masa depan Sarawak bergantung kepada kerajaan yang kuat, stabil dan komited untuk mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak.

“GPS mempunyai kelebihan untuk menggalas tanggungjawab itu dengan pengalaman, kecekapan selain disegani, berintegriti tinggi dan mempunyai rekod prestasi cemerlang,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap, penduduk Sarawak tidak membuat kesilapan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi demi perpaduan, keharmonian, autonomi dan kemakmuran Sarawak. -EDISI UKAS

add comment