JUMAAT, 17 DISEMBER 2021
KUCHING: Seramai 1.2 juta pengundi berdaftar akan turun mengundi di 1,866 Pusat Mengundi dan 3,555 saluran yang dibuka seawal jam 7:30 pagi hingga 5:00 petang pada Sabtu.
Menurut Setiausaha SPR Malaysia Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan media pada Jumaat, proses pengundian Pilihan Raya Negeri Ke 12 (PRN-12) Sarawak kali ini membabitkan seramai 46,565 petugas SPR yang akan bertugas di 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Seramai 1,213,769 orang pengundi bakal mengundi di PRN-12 Sarawak esok (Sabtu).
“SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya.
Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkanseperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak atau mengikut kelapangan masa serta dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.
SPR Malaysia dalam pada itu juga mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi.
“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambah SPR lagi, semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam, 17 Disember 2021.
SPR Malaysia turut menegaskan semua pihak termasuk pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa barangan yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik. -EDISI UKAS