JUMAAT, 17 DISEMBER 2021
LAWAS: Rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu bersatu hati untuk menuju ke arah yang sama.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sekiranya rakyat berpolitik dengan haluan yang berbeza, maka perpecahan akan berlaku.
“Hati-hati dengan politik perkauman kerana ia hanya akan membawa perpecahan. Kita gabungkan semua kaum untuk menuju ke arah yang sama,” katanya dalam Program Sehari Bersama Pelanggan dan Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Desa Kampung Punang di Kampung Punang Jaya, Lawas pada Khamis.
Ujar Datuk Amar Awang Tengah lagi, rakyat dapat melihat dan menilai sendiri parti yang akan memimpin mereka.
Dalam pada itu, beliau menambah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan program-program pembangunan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“InsyaAllah selepas 18 Disember ini, Sarawak akan terus diperintah GPS. Inilah komitmen kita untuk meneruskan pembangunan dan membantu masyarakat kita.
“Jangan gadaikan masa depan kita. Kita mahu anak-anak muda kita dengan masa depan yang lebih baik. Itulah sebenarnya pilihan raya ini untuk membentuk kerajaan. Ini adalah proses untuk kesinambungan untuk kebaikan kita semua secara menyeluruh.
“Saya serahkan kepada anda semua untuk memilih kerana anda semualah yang menentukan. Jalankanlah tugas dan tanggungjawab untuk turun mengundi. Jagalah SOP dan semoga kita berjaya untuk kejayaan kita semua,” tambahnya.
Ujarnya lagi, bagi kawasan Punang ini, beliau akan terus memastikan projek-projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan dan pelbagai perancangan akan dilaksanakan agar rakyat di sini menerima pembangunan sama seperti di kawasan lain.
Dalam majlis sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar yang turut berucap berkata, pembangunan pesat yang dinikmati di Lawas ini adalah atas usaha Datuk Amar Awang Tengah.
Justeru katanya, sekiranya rakyat mahu pembangunan ini diteruskan, mereka perlu memberi kepercayaan dan mengundi GPS.
“Percayalah dengan ilmu yang kita dapat, kita boleh menganalisa dan tidak diperdaya oleh pihak pembangkang,” katanya.-EDISI UKAS