Calon GPS DUN N.4 Pantai Damai Turun Mengundi, Patuhi SOP Ditetapkan

SABTU, 18 DISEMBER 2021

KUCHING: Para pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.4 Pantai Damai mula menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuang undi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik seawal pukul 7.30 pagi.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN N.4 Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman bin Haji Junaidi pula tiba di pusat pengundian di SK Gersik pada pukul 9.30 pagi untuk membuang undi.

Turut hadir bersama adalah keluarga beliau, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin dan tiga orang anaknya yang turut membuang undi di SK Gersik.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan mendapati, rata-rata pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menunggu giliran di pusat pengundian dengan lengkap memakai pelitup muka.

Mereka juga didapati menjaga penjarakan fizikal, selain kelihatan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan saringan suhu badan dan menyediakan pensanitasi tangan.

Sebanyak 54 saluran di 17 pusat mengundi dibuka bagi kerusi DUN N.4 Pantai Damai bagi membolehkan rakyat Sarawak memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri ke-(PRN) Sarawak. -EDISI UKAS

add comment