PRN-12 Sukar Dan Mencabar Susulan SOP: Datuk Amar Douglas Uggah

SABTU, 18 DISEMBER 2021

SPAOH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 disifatkan sebagai paling sukar dan mencabar dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, penguatkuasaan SOP itu bukan sahaja diperketatkan di kawasan bandar malah keadaan yang sama belaku di luar bandar.

Malah ujarnya, capaian internet yang lemah telah menyukarkan lagi PRN Sarawak pada kali ini.

Bercakap kepada media selepas membuang undi di rumah panjang beliau, Rumah Mendit Unsu di Penom, Spaoh hari ini, tambahnya, keadaan pada masa ini amat berbeza dengan pilihan raya pada 2016 terutamanya kempen yang melibatkan fizikal seperti ceramah.

Mengenai penggunaan platform media sosial untuk berkempen, ujarnya, beliau berdepan dengan masalah capaian internet yang terhad di beberapa kawasaan.

Dalam pada itu, isteri beliau Dato Doreen Mayang dan tiga orang anak serta ahli keluarga yang lain antara pengundi terawal selepas pusat mengundi di rumah panjang tersebut dibuka pada 7.30 pagi.

Datuk Amar Douglas Uggas merupakan penyandang DUN Bukit Saban dicabar calon Parti Keadilan Rakyat dan Parti Sarawak Bersatu pada kali ini.

Pada masa yang sama, beliau yang juga pengarah operasi pilihan raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab hari ini di seluruh negeri.

add comment