Kemenangan Besar GPS Dalam PRN-12 Sarawak Adalah Kemenangan Bagi Rakyat

AHAD, 19 DISEMBER 2021

KUCHING: Kemenangan lebih dua pertiga Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak pada Sabtu adalah kemenangan bagi rakyat negeri ini.

Ketua Whip GPS yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kejayaan cemerlang itu menunjukkan isyarat jelas bahawa rakyat Sarawak mengiktiraf parti tempatan iaitu GPS.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menambah, GPS telah terbukti rekod cemerlangnya dan menolak parti berpangkalan di Semenanjung atau “parti luar” untuk mentadbir Sarawak.

“Kemenangan ini adalah amanah rakyat yang harus dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS yang telah dipilih.

“Berilah komitmen terbaik demi rakyat dan negeri Sarawak. Mandat ini juga adalah amanah rakyat bukan sahaja untuk ADUN GPS yang telah dipilih, malah untuk kami Ahli-Ahli Parlimen GPS. Insya-Allah kami di peringkat Persekutuan juga akan terus memberikan khidmat terbaik demi Sarawak dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berharap, gelombang kemenangan tersebut akan berterusan dan membawa kemenangan lebih besar kepada GPS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Saya juga merakamkan penghargaan dan kepada kesemua jentera parti yang telah bertungkus lumus dan bekerja keras di kesemua 82 kerusi DUN yang ditandingi oleh GPS,” katanya. -EDISI UKAS

add comment