Rakyat Tolak Politik Menghasut, Kebencian Dan Pembohongan

ISNIN, 20 DISEMBER 2021

BINTULU: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak politik menghasut, kebencian dan pembohongan. 

Ujar Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato’ Sri Stephen Rundi Utom, rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memberi jaminan masa depan yang kukuh dalam aspek sosioekonomi.  

“Kini, tiba masanya Kerajaan GPS menyampaikan dan berkhidmat kepada rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemenangan majoriti mudah GPS pada Sabtu. 

Pada PRN12 Sarawak, Dato’ Sri Stephen Rundi berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.69 Kemena dengan majoriti 3,611 undi. 

Tambah beliau lagi, sentimen dalam kalangan pengundi sebenarnya telah dimanifestasikan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Samalaju Dato Majang Renggi menyifatkan kemenangannya pada PRN12 Sarawak bukti rakyat mengakui GPS berjaya membawa banyak pembangunan khususnya di DUN Samalaju. 

“Kemenangan GPS di DUN Samalaju menandakan hubungan baik, kukuh dan kerjasama antara agensi kerajaan, Pusat Khidmat DUN Samalaju dan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya. 

Secara keseluruhannya, GPS telah berjaya memperolehi 76 kerusi daripada 82 kerusi DUN Sarawak yang dipertandingkan dan sekaligus mencipta sejarah apabila menambah bilangan kerusi yang dimenangi berbanding 72 kerusi DUN dalam PRN11 pada 2016. -EDISI UKAS

add comment