MAFI Sentiasa Komited Memodenkan Pertanian Pintar

SELASA, 21 DISEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa komited dalam memodenkan pertanian khususnya bagi pertanian pintar yang telah dikenal pasti dapat menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, , dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) adalah inisiatif pemodenan yang melibatkan pengusaha dan petani di luar bandar selaku kumpulan sasar disebabkan kawasan-kawasan pertanian berskala besar kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar.

Katanya, antara usaha MAFI untuk menggalakkan peralihan ke pertanian moden adalah dengan inisiatif penaiktarafan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang merupakan kawasan penanaman dan pengeluaran tanaman makanan secara kekal yang terletak di seluruh Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Sehubungan itu, bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden, Jabatan Pertanian telah diluluskan peruntukan sebanyak RM232 juta di bawah RMKe-12 yang melibatkan tujuh projek bagi menaiktaraf kepada sistem pengairan pintar menggunakan Internet of Things (IoT), perolehan jentera, mesin dan aplikasi pertanian pintar.

“Penaiktarafan ini akan membantu pengusaha TKPM yang terdiri daripada golongan petani beralih kepada pertanian pintar,” katanya semasa menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat di Dewan Rakyat pada Isnin.

Manakala bagi mengulas perkara berkaitan perancangan untuk menyediakan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan hasil pertanian secara moden di Sarawak, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan perancangan untuk menyediakan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan hasil pertanian moden di Sarawak, Pusat Operasi Samarahan di bawah FAMA telah dinaiktaraf dan sedang dalam proses mendapatkan persijilan Good Manufacturing Practice (GMP) dan pusat ini mempunyai fasiliti untuk mengumpul hasil pertanian sebanyak 20 tan metrik pada satu-satu masa.

Dalam pada itu ujarnya, kerajaan Sarawak juga mempunyai perancangan untuk menubuhkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan  hasil pertanian.

“Kerajaan Sarawak juga mempunyai perancangan untuk menubuhkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan hasil pertanian secara moden di Limbang, Lawas, Layar, Lundu, Lachau, Sebangan, Kapit, Long Lama dan juga di kawasan-kawasan lain yang strategik dan berpotensi di seluruh Sarawak.

“Kerajaan Sarawak juga merancang untuk membangunkan Agro Food Terminal di Semenggok, Kuching, Bebuling, Spaoh dan Sg. Baji, Sarikei,”ujarnya.

Tambah beliau lagi, operasi Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan dan Agro Food Terminal ini akan dijalankan oleh agensi pelaksana kerajaan negeri seperti Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dan juga syarikat-syarikat swasta yang mempunyai pasaran domestik dan pasaran eksport.

“Inisiatif ini membolehkan para petani di luar bandar untuk menjual hasil pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran secara terus kepada pusat tersebut dan mendapatkan harga pasaran yang lebih baik bagi meningkatkan pendapatan serta mengelakkan lambakan hasil pertanian,” tambah beliau. -EDISI UKAS

add comment