Penerbangan SCOOT Terus Ke Miri Akan Mula Beroperasi Pada 19 Januari 2022

SELASA, 21 DISEMBER 2021

MIRI: Syarikat Penerbangan Singapura iaitu Scoot Tigerair Pte Ltd (SCOOT) akan memulakan operasi penerbangan terus ke Miri pada 19 Januari 2022.

Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam kenyataan medianya baru-baru ini memaklumkan, SCOOT akan memulakan penerbangan dua kali seminggu iaitu pada hari Rabu dan Sabtu.

Katanya, Kerajaan Sarawak mengalu-alukan cadangan syarikat tersebut kerana Miri merupakan pintu masuk ke utara Sarawak dan salah satu destinasi pelancongan paling popular di negeri ini.

“Kami percaya bilangan pelawat dari Singapura ke Sarawak akan beransur pulih sebaik keadaan pandemik COVID-19 bertambah baik dengan kadar vaksin dewasa yang divaksin sepenuhnya di negeri ini melebihi 91 peratus,” katanya.

Selain menjadi bandar kedua terbesar di Sarawak di belakang Kuching, dengan populasi lebih 356,000 orang, Bandar Miri juga mengalu-alukan pelancong dengan pelbagai negara dan pintu masuk utama ke tempat-tempat seperti Taman Negara Lambir, Taman Negara Loagan Bunut, Gua Niah, dan Taman Negara Gunung Mulu yang terkenal di dunia.

Buat masa ini, Scoot Tigerair Pte Ltd mengendalikan penerbangan mereka dari Singapura ke Kuching tiga kali seminggu dan ia adalah tepat pada masanya untuk syarikat penerbangan itu beroperasi ke bandar lain di Sarawak.

Ini menunjukkan keyakinan syarikat luar dengan Sarawak sebagai antara destinasi pelaburan pilihan di Malaysia dan kestabilan Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS

add comment