Rakyat Faham Hala Tuju Dasar Kerajaan Sarawak Ke Arah Negeri Maju Menjelang 2030: KM

SELASA, 21 DISEMBER 2021

KUCHING: Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunjukkan kepercayaan rakyat Sarawak kepada parti berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, rakyat mulai memahami hala tuju dasar yang beliau ketengahkan khususnya ke arah negeri maju menjelang tahun 2030.

“Rakyat nampaknya faham hala tuju dasar yang saya ketengahkan, kestabilan politik dalam usaha membangunkan rakyat, kerangkuman dasar yang melibatkan semua agama dan kaum termasuk kedudukan tersendiri mengikut perjanjian Malaysia 1963 yang diluluskan oleh Parlimen.

“Ini adalah asas kukuh yang telah memberikan kemenangan kepada GPS dan integriti kami sampaikan seperti yang telah dijanjikan terutamanya dalam meneruskan usaha Tok Nan dengan cara saya sendiri,” katanya pada majlis sambutan hari pertama beliau masuk selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.

Ketua Menteri menambah, hubungan rapat antara penjawat awam dan kerajaan negeri amat penting dalam pelaksanaan pembangunan rakyat.

Jelasnya, sejurus selepas sesebuah dasar ditentukan, ianya perlu dilaksanakan dengan pantas dengan prosedur yang lebih proaktif.

“Rakyat memerlukan saya untuk meneruskan apa yang saya umumkan tetapi kebanyakannya projek rakyat ada ketinggalan sedikit dan saya berharap semua pihak ambil perhatian untuk tindakan selanjutnya.

“Beberapa prosedur memerlukan rombakan semula kerana ada yang sudah lapuk dan tidak diperlukan lagi sekaligus diperbaharui dengan teknologi terkini yang lebih praktikal,” katanya. -EDISI UKAS

add comment