Rakyat Sarawak Mahukan Kerajaan, Politik Stabil: Datu Len

SELASA, 21 DISEMBER 2021

SARIKEI: Datu Len Talif Salleh menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga DUN Kuala Rajang kerana sekali lagi memilih beliau sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Beliau juga amat berterima kasih kepada semua jentera pilihanraya PBB Kuala Rajang yang telah berkerja keras semasa kempen sehingga memperolehi kemenangan pada PRN Sarawak Ke-12 yang baru sahaja selesai.

Pada pemilihan kali ini, Datu Len Talif Salleh telah memperolehi 5268 undi untuk menewaskan dua calon bebas dan seorang calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan majoriti sebanyak 3325.

Berucap dalam Majlis Penghargaan Petugas Pilihanraya bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, Sarikei pada Isnin, Datu Len berkata beliau akan meneruskan usaha-usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan serta membaiki segala kekurangan yang ada sebagai wakil rakyat yang dipilih.

Ujarnya, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat besar dan berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik untuk semua warga Kuala Rajang.

Tegasnya, mandat besar diperolehi Gabungan Parti Sarawsak (GPS) pada PRN kali ini bukti jelas bahawa rakyat Sarawak memilih kestabilan politik dan kerajaan yang benar-benar mampu untuk mentadbir dan melaksanakan pembangunan. – EDISI UKAS

add comment