Sarawak Terima RM187 Juta Dari Tabung COVID-19 Yang Diagih Kepada Jabatan, Agensi Kerajaan

SELASA, 21 DISEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Sarawak menerima sebanyak RM187 juta daripada Tabung COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, ia telah diagihkan khusus kepada jabatan atau agensi Kerajaan.

“Sebanyak RM187 juta telah dibuat agihan khusus kepada jabatan/agensi Kerajaan di negeri Sarawak merangkumi projek-projek berskala kecil.

“Projek-projek berskala kecil itu adalah seperti penyelenggaraan Infrastruktur di bawah Kerajaan Negeri Sarawak; Kerja-kerja membaikpulih Kuarters Gunasama Persekutuan di Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri; Pembaikan/Naiktaraf Premis Perpaduan akibat bencana negeri Sarawak di bawah Kementerian Perpaduan.

“Selain itu, ia juga adalah bagi Pembaikan/Naik taraf Jalan Perhubungan Desa, institusi KEMAS dan ameniti sosial negeri Sarawak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Naik taraf premis perniagaan dan institusi pendidikan MARA di negeri Sarawak; dan Program bantuan rumah dan baik pulih rumah, projek bekalan air luar bandar dan naik taraf stesen bekalan elektrik di negeri Sarawak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau yang meminta Menteri menyatakan berapa jumlah peruntukan Tabung COVID-19 yang diagihkan kepada wilayah Sarawak amnya dan Baram khasnya untuk projek kecil serta agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek kecil tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tengku Datuk Seri Zafrul juga memberitahu, secara umumnya projek berskala kecil yang diluluskan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 tidak diagihkan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Kawasan Parlimen tetapi lebih kepada agensi pelaksana.-EDISI UKAS

add comment