Pejabat Daerah, KMKK Disarankan Tubuhkan Jawatankuasa Bencana Di Peringkat JKKK

RABU, 22 DISEMBER 2021

MIRI: Sementara itu, dalam perkembangan sama, JPBB Miri meminta Pegawai Daerah dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menubuhkan sebuah jawatankuasa bencana di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

Pengerusinya Abdul Aziz Mohd Yusuf memberitahu, dengan adanya jawatankuasa bencana ini membolehkan JPBB Miri bekerjasama dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menyalurkan bantuan awal. 

“Bagi kampung yang terlibat (banjir), disarankan untuk bersedia dengan perahu panjang dan hendaklah terus kekal waspada. 

“Satu mensyuarat penyelarasan akan dilaksanakan di peringkat daerah masing-masing. Kita juga telah belajar daripada insiden banjir pada Mei yang lepas,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Persediaan Bencana Banjir di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Selasa.

Monsun Timur Laut (MTL) telah bermula pada pada 3 November 2021 dan dijangka berakhir sehingga Mac 2022. 

Dalam pada itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam tempoh ini 4 hingga 6 episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku. 

Musim tengkujuh atau episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Sarawak pada bulan Januari.

Sepanjang tempoh tersebut, jangkaan hujan untuk Bahagian Miri adalah pada paras purata. 

Bagi orang ramai yang ingin mengikuti lebih lanjut keadaan cuaca di kawasan masing-masing boleh melayari laman web Met Malaysia di http://www.met.gov.my atau menggunakan aplikasi mycuaca yang boleh dimuat turun melalui App Store atau Play Store.-EDISI UKAS

add comment