Segera Ambil Dos Penggalak: Dr Annuar

KHAMIS, 23 DISEMBER 2021

SIBU: Orang ramai di negeri ini yang belum mengambil dos penggalak digalakkan berbuat demikian dengan segera sebelum berakhir Februari 2022 untuk mengelakkan status Mysejahtera mereka bertukar menjadi tidak lengkap.

Menurut Dr Annuar Rapaee, orang ramai perlu mengambil dos penggalak sudah terbukti ia menjadi penyumbang penurunan ketara kes Covid-19 di Sarawak ketika ini.

Jelasnya, ketika ini lebih 50 peratus penduduk di negeri ini telah menerima dos penggalak tersebut.

“Di Sarawak lebih 50 peratus penduduk sudah mengambil dos penggalak dan kita adalah negeri yang dapat banyak dos penggalak.

“Itulah yang menyebabkan kes ketika ini di Sarawak tidak tinggi. Justeru, kita harap penduduk akan mengambil dos penggalak kerana sudah terbukti berkesan,” katanya kepada media selepas menyertai program Kayuhan Terima Kasih Bersama Dr Annuar pada Rabu.

Menurut Dr Annuar, tahap antibodinya melonjak kepada 98 peratus selepas pengambilan dos penggalak berbanding hanya 33 peratus selepas sebulan mengambil dos kedua.

Tambahnya lagi, kempen pengambilan dos penggalak itu perlu dipertingkatkan lagi bagi menggalakkan lebih ramai penduduk di negeri ini mengambilnya jika masih ramai yang menolaknya.

Beliau dalam pada itu tidak menolak pengambilan dos penggalak itu akan meningkat selepas ini jika terdapat banyak pilihan dos penggalak disediakan.

Ini kerana beliau menyedari orang ramai enggan mengambil dos penggalak yang berlainan jenis dengan vaksin dos pertama dan kedua yang mereka ambil sebelum ini.

Program santai itu diadakan oleh Dr Annuar untuk bersua dengan para penduduk serta penyokong yang telah menyokong beliau dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang lalu. – EDISI UKAS

add comment