ADUN Meradong Sumbang RM10,000 di Majlis Makan Malam Mesra MDMJ

AHAD, 26 DISEMBER 2021

SIBU : Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) telah mengadakan Majlis Makan Malam Mesra MDMJ di Kingwood Hotel Sibu pada Jumaat.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Datuk Ding Kuong Hiing  bersama pegawai dari daerah Pakan dan Julau di bawah pentadbiran Majlis Daerah Meradong.

“Selama lima tahun menjadi ADUN Meradong, saya amat berterima kasih kepada MDMJ kerana sentiasa menjadi penyelia dalam pelaksanaan projek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek berkenaan sentiasa dilaksanakan dengan amat baik sekali.

“Selain itu, berita amat baik daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang  Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana telah meluluskan dana peruntukan daripada Kerajaan Sarawak untuk menaiktaraf prasarana Taman Rekreaksi Bintangor,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Tambah Datuk Ding lagi, beliau berharap setiap kakitangan agensi MDMJ yang meliputi Daerah Meradong, Pakan dan Julau akan sentiasa memberi komitmen yang terbaik untuk sama-sama bergerak ke arah kecemerlangan di setiap kawasan. 

“Sehubungan itu, saya amat percaya Daerah Meradong akan menjadi lebih baik dan maju dengan adanya sokongan dana pembangunan infrastruktur daripada Kerajaan Sarawak dalam masa lima tahun yang akan datang. 

“Dengan ini, saya menyumbang RM10,000 kepada Kelab MDMJ untuk menjalankan aktiviti tahunan pada tahun hadapan.”-EDISI UKAS

add comment