JPBN Sarawak Ambil Tindakan Segera Kekang Penularan Varian Omicron

ISNIN, 27 DISEMBER 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengambil tindakan awal bagi mengekang penularan varian Omicron di negeri ini. 

Menurut JPBN Sarawak, Kerajaan Sarawak sudah melaksanakan tindakan awal dengan mengetatkan tatacara kemasukan pengembara dari luar negara berkuat kuasa pada 22 Disember lalu.

“JPBN Sarawak telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) melakukan tindakan awal dengan pengesanan kontak rapat berkaitan kes terkini.

“Ia juga telah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media rasmi oleh Menteri Kesihatan Malaysia,” katanya pada Ahad. 

JPBN Sarawak juga memberitahu akan mengumumkan perkara-perkara berkaitan berhubung langkah pengawalan dan akan diumumkan dari semasa ke sesama di dalam kenyataan JPBN Sarawak dan JKNS. 

Baru-baru ini, ahli Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG), Profesor Dr David Pereira telah memberitahu terdapat empat kes varian Omicron COVID-19 telah dikesan di Sarawak iaitu masing-masing dua kes di Bintulu dan Kuching. 

Salah satu kes yang melibatkan seorang wanita di Kuching merupakan jangkitan tempatan kerana beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.-EDISI UKAS

add comment