ISNIN, 27 DISEMBER 2021
LIMBANG: Perjalanan bot ekspres dari Limbang ke Lawas dan Lawas ke Limbang akan ditambah sebanyak dua perjalanan sehari pada 28 dan 29 Disember ini bagi menampung permintaan penduduk yang berulang alik dari kedua-dua daerah tersebut.
Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi berkata, pihaknya menjangkakan jumlah perjalanan tersebut cukup bagi menampung permintaan masyarakat yang pulang ke kampung masing-masing sama ada di Limbang atau Lawas.
“Perjalanan dari Limbang ke Lawas ditambah selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Disember ini bermula jam 2 petang dan dari Lawas ke Limbang bermula 2 petang,” katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.
Sebelum ini perkhidmatan ekspres sama ada dari Lawas ke Linbang dan Limbang ke Lawas hanya sekali sehari.
Ujar Ir Ahmad Denny lagi, pertambahan dua perjalanan sehari itu akan memudahkan pergerakan penduduk di bahagian ini yang bergantung kepada pengangkutan sungai ekoran kesukaran rentas daerah.
Perkhidmatan ekspress itu perlu memandangkan penduduk di daerah Lawas dan Limbang berulang-alik untuk berurusan dengan agensi kerajaan dan beberapa agensi persekutuan yang tidak memiliki pejabat di daerah Lawas.-EDISI UKAS