Tubuh Pasukan Wakil Rakyat GPS Sibu Sebagai Pemangkin Pembangunan Lebih Efisien Dan Cepat

ISNIN, 27 DISEMBER 2021

SIBU: Satu pasukan yang terdiri daripada beberapa wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sibu yang memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak akan ditubuhkan. 

Menurut Dr Annuar Rapaee, pasukan ini sebagai pemangkin pembangunan yang lebih efisien dan cepat untuk rakyat di Bahagian Sibu. 

“Pasukan Wakil Rakyat GPS Sibu akan ditubuhkan tidak lama lagi. 

“Satu mesyuarat berhubung perkara tersebut telah diadakan baru-baru ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Sidang Agung Ke-15 Rumpun Silat Sarawak di sebuah hotel terkemuka pada Sabtu. 

Pasukan itu akan dianggotai oleh empat wakil rakyat iaitu Dr Annuar Rapaee (DUN Nangka), Datuk Seri Tiong King Sing (DUN Dudong), Chieng Jin Ek (DUN Bukit Assek) dan Michael Tiang Ming Tee (DUN Pelawan). 

Tambah Dr Annuar lagi, penubuhan pasukan ini juga bukan sahaja memastikan pembangunan Sibu lebih cepat, tetapi juga pembangunannya yang teratur dan tersusun.

“Sudah tentu, apa yang terbaik ialah menubuhkan pasukan untuk Sibu. 

“Dalam satu pasukan yang dianggotai empat wakil rakyat dari GPS, kita boleh bercakap lebih banyak untuk Sibu seterusnya mendapatkan peruntukan yang banyak bagi disalurkan untuk pembangunan Sibu,” tambahnya.

Hadir sama Presiden Rumpun Silat Sarawak Muhammad Haneef Ali.-EDISI UKAS

add comment