MDMD Sedia Inisiatif Baru Bantu Peniaga Kecil Nikmati BKSS

SELASA, 28 DISEMBER 2021

BELAWAI: Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) telah terbukti membantu setiap lapisan masyarakat dalam membantu menghadapi cabaran pendemik Covid-19 termasuk para peniaga kecil yang terjejas teruk.

Namun yang demikian bukan semua yang telah memohon BKSS layak serta diluluskan kerana masih banyak tiada lesen atau permit perniagaan yang menjadi penghalang dalam menyalurkan bantuan.

Sepanjang tahun 2021, sebanyak 2441 permohonan telah diluluskan untuk menerima BKSS bagi kawasan di bawah seliaan Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) dan sekitarnya.

Oleh itu, MDMD telah menyediakan inisiatif baru bagi membolehkan lebih ramai peniaga kecil-kecilan mendapat bantuan BKSS dengan memberi permit kepada peniaga tepi jalan dan pembuat kuih-muih di rumah di samping menggalakkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Bercakap pada majlis Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang BKSS bagi peniaga kecil bertempat di Tapak Pasar Minggu Medan Ria Belawai pada Isnin, Datu Len Talif Salleh berkata BKSS adalah inisiatif Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Sarawak sepanjang pandemik Covid-19 menular.

Beliau memuji tindakan MDMD yang telah banyak membantu dalam setiap perancangan pembangunan yang telah dilakukan di DUN N 41 Kuala Rajang untuk keselesaan dan kebajikan rakyat.

Pada majlis penyerahan ini, seramai 53 orang peniaga kecil yang tidak mempunyai akaun atau Sarawak Pay telah menerima baki bantuan sebanyak RM750 setiap seorang.

Secara keseluruhan, setiap seorang peniaga menerima bantuan sebanyak RM1,500 di mana sebanyak RM750 telah disalurkan seawal suku ketiga tahun 2021.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Kaum dan Masyarakat serta para penerima bantuan. – EDISI UKAS

add comment