Sarawak Siap Siaga Hadapi Banjir Monsun Timur Laut

SELASA, 28 DISEMBER 2021

KUCHING: Sebanyak 631 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah disediakan di seluruh Sarawak sebagai persediaan menghadapi bencana banjir akibat musim monson timur laut yang dijangka berlaku dari November 2021 sehingga Mac 2022.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion turun padang pada Selasa bagi meninjau dua PPS di Dewan Masyarakat Stapok dan Sekolah Menengah Min Lit, Batu Kawa bagi melihat sendiri keadaan semasa dan tahap kesiapsiagaan agensi-agensi yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir kelak.

“Kita telah sediakan 600 lebih PPS dan sudah disiapkan dengan pelbagai fasiliti untuk keselesaan mangsa yang mungkin akan terjejas nanti. 

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen dan daerah serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bekerjasama untuk pastikan persiapan ini rapi,” katanya.

Tambah Datuk Amar Jaul lagi, fokus utama PPS ialah tertumpu kepada kawasan yang berkemungkinan besar mendapat purata hujan yang lebih dari kawasan-kawasan yang lain dan kawasan yang berisiko tinggi serta turut menasihati orang ramai untuk bersedia menghadapi banjir yang bakal tiba.

“Monsun Timur Laut ini memang berlaku pada November 2021 hingga Mac 2022. Jadi kemungkinan hujan lebat, ribut petir akan berlaku di mana-mana tempat. 

“Amaran kita untuk orang ramai ialah bersiap sedia sebelum banjir tiba. 

“Ambil tindakan awal untuk bawa kelengkapan peribadi dan dokumen-dokumen penting,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Pengarah JKM Sarawak, Noriah Ahmad memberitahu pihaknya sudah bersiap siaga dengan segala kemungkinan yang akan berlaku sejak daripada pertengahan tahun lagi dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) tetap dipatuhi bagi mengelakkan penularan COVID-19 ketika menghimpunkan mangsa-mangsa ke PPS itu.

Dalam pada itu, penduduk yang terjejas akibat banjir boleh menghubungi Bilik Gerakan JKM Sarawak untuk tindakan susulan di talian 082-311554.-EDISI UKAS

add comment