Sokongan Padu Ke Atas GPS Di DUN N.79 Bukit Kota Tanda Rakyat Mahukan Pembangunan Berterusan

SELASA, 28 DISEMBER 2021

LIMBANG: Datuk Dr Abdul Rahman Ismail mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.79 Bukit Kota kerana mengundinya dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak baru-baru ini. 

Katanya, ini menunjukkan rakyat di DUN Bukit Kota ini amat mengharapkan pembangunan yang berterusan demi kemudahan dan keselesaan penduduk pada masa akan datang. 

“Kita akan berusaha meneruskan segala projek pembangunan yang sedang kita jalankan dan akan kita laksanakan di masa-masa akan datang supaya kawasan DUN Bukit Kota dan daerah Limbang serta bahagian Limbang akan terus membangun dalam Sarawak ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek MRP Kepada Persatuan/NGO dan Kelab Kawasan DUN N.79 Bukit Kota di Hotel Purnama Limbang pada Isnin. 

Pada majlis ini Datuk Dr Abdul Rahman telah menyerahkan cek MRP bagi tahun 2021 yang tidak sempat diagihkan sebelum PRN12 Sarawak yang lepas berjumlah RM525,000 melibatkan 104 Persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah Limbang.

Ujar Datuk Dr Abdul Rahman, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berjaya memimpin GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang ditandingi. 

“Ini juga menandakan rakyat Sarawak memilih pembangunan kerana visi dan misi serta perancangan yang begitu jelas Ketua Menteri selaku peneraju bagi kerajaan GPS untuk membangunkan negeri Sarawak yang sangat besar dengan keadaan bentuk muka bumi yang sukar untuk dibangunkan .

“Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan yang jelas untuk membangunkan negeri ini,” ujarnya. 

Pembangunan khusus ini untuk kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya dan telekomunikasi yang dirancang akan dilaksanakan sehingga tahun 2025 dan selepas itu ditingkatkan kepada pembangunan ekonomi iaitu 5 tahun sebelum mencapai sasaran negeri maju berpendapatan tinggi pada tahun 2030.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Binti Hj Halpi, wakil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Limbang  Inspektor Edrizan Abdul Rauf, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal dan Penghulu Chua Beng Soon.-EDISI UKAS

add comment