Mohamad Duri Tinjau Jalan Rosak Di Kampung Paloh

RABU, 29 DISEMBER 2021

PALOH: Mohamad Duri turun padang pada Rabu bagi meninjau jalan menghubungkan Kampung Paloh dan Kampung Batang Maro yang rosak akibat dipukul ombak beberapa bulan yang lepas.

Penduduk kawasan Kampung Paloh risau kerana ianya merupakan antara jalan yang sering digunakan untuk membawa hasil dari kebun dan kini terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk menuju ke jalan utama.

Semasa lawatan tersebut, Mohamad Duri telah meminta agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaiki jalan rosak yang teruk sepanjang lebih kurang 150m agar dapat dilalui oleh kenderaan menuju ke Kampung Paloh sementara menunggu peruntukkan bagi membaiki jalan itu keseluruhannya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang lalu, isu membaiki jalan ini turut dikemukakan penduduk kepada pihak kerajaan dan usaha untuk membina semula jalan tersebut amat dihargai oleh pihak penduduk Kampung Paloh.

Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Betong, Abang Ahmad Abang Turkey; Pegawai Daerah Kabong, Mohd Rashdan Hazemi; Ketua Kampung Paloh, Abang Morshidi; Jurutera JKR Betong; Jurutera JBALB; Jurutera Jabatan Air dan Saluran Betong serta wakil Majlis Daerah Saratok.-EDISI UKAS

add comment