Orang Ramai Diseru Dapatkan Dos Penggalak Dengan Segera

RABU, 29 DISEMBER 2021

DARO: Seramai 382 individu telah mendapatkan vaksin dos penggalak di Dewan Masyarakat Daro pada Selasa.

Pemberian dos penggalak ini diadakan secara hadir terus selama dua hari iaitu dari 28 hingga 29 Disember bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Semua penerima juga perlu membawa bersama kad vaksin terdahulu, kad pengenalan dan kad klinik bagi yang mempunyai masalah kesihatan.

Sementara itu, orang ramai yang belum mendapatkan dos penggalak diseru untuk hadir ke Dewan Masyarakat Daro pada tarikh berkenaan kerana kadar penerima dos penggalak ini masih kurang daripada yang telah mendapatkan dos pertama dan kedua.

Syarat penerima dos penggalak adalah penerima vaksin Sinovac yang telah genap tiga bulan dari dos kedua, penerima vaksin comirnaty (Pfizer) genap enam bulan dari dos kedua dan mesti berumur 18 tahun dan keatas.

Penduduk yang belum menerima dos penggalak boleh menghubungi SN Khadijah Jelani di talian 019-8289501 dan PO Faizah Hassim di talian 013-8806106 untuk segera mendaftar.-EDISI UKAS

add comment