KHAMIS, 30 DISEMBER 2021
KUCHING: Barisan kabinet baharu Sarawak ini adalah berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kabinet ini akan membangunkan Sarawak menjadi negeri ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
“Saya berkeyakinan bahawa barisan Kabinet baharu ialah kabinet yang berfungsi, dilengkapi dengan kompeten, didorong oleh orang ramai, telus dan berintegriti, memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang berkesan, sambil mengekalkan sistem struktur yang kukuh.
“Pasukan ini juga akan mengukuhkan status perlembagaan Sarawak sebagai rakan serantau dalam Persekutuan Malaysia, mengikut pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan merujuk kepada MA63 dan lampirannya.
“Dengan MA63, rujukan asas hak-hak negeri Borneo Sarawak dan Sabah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata dalam Sidang Media Khas di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah beliau yakin dan komited barisan kabinet Sarawak yang baharu ini akan melaksanakan kesemua 34 perkara yang terkandung dalam Manifesto PRN12 Sarawak lepas.
“Barisan Kabinet baharu ini komited untuk melaksanakan kesemua 34 perkara yang diikrarkan dalam Manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak untuk 5 tahun akan datang yang memberi penekanan kepada pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat kita,” tambahnya.
Hadir sama Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS