SPECA Berjaya Laksana 70 Peratus Nilai Kontrak Minyak, Gas

Khamis, 30 Disember

KUCHING: Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) berjaya melaksanakan purata 70 peratus daripada nilai kontrak minyak dan gas walaupun banyak tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan pandemik Covid-19.

Presiden SPECA, Datuk Rahman Lariwoo berkata persatuan itu semakin mendapat sambutan yang baik daripada pemain industri dengan jumlah ahli telah meningkat dua kali ganda kepada 87 orang berbanding akhir tahun lepas.

“Kami telah melakukan banyak inisiatif dan menerima maklum balas yang baik daripada pihak berkepentingan seperti Petronas, Petros, PTTEP, SEDC Energy dan Petra-Uzma.

“Dengan keluaran Petronas Outlook 2022-2024 baru-baru ini, kita dapat melihat bahawa terdapat banyak peluang untuk kontraktor di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata industri tempatan sedang berjalan rancak dengan loji metanol sedang beroperasi di Bintulu dan akan disusuli dengan pengoperasian loji hidrogen dan loji ammonia.

“Kami berharap kontraktor tempatan kami akan bersedia untuk merebut semua peluang ini.

“SPECA juga ingin melihat Sarawak mempunyai bekalannya sendiri pada tahun depan supaya lebih banyak syarikat tempatan boleh terlibat dalam kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan.”

Dalam pada itu, Datuk Rahman juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRU12) baru-baru ini.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menyokong kerajaan GPS yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Kemenangan ini akan memberinya mandat selama lima tahun lagi untuk membawa Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030,” tambah Datuk Rahman lagi. – EDISI UKAS

add comment