Ambil Langkah Pencegahan Awal Hadapi Banjir – Datuk Amar Awang Tengah

JUMAAT, 31 DISEMBER 2021

LAWAS: Selepas penularan COVID-19, banjir dijangka akan melanda daerah Lawas pada penghujung tahun ini dan awal Januari 2022. 

Menurut Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, penduduk perlu bersedia menghadapi bencana banjir dengan membuat persiapan segera dengan menyelamatkan harta benda terutama dokumen penting. 

“Tahun ini kita telah berdepan dengan masalah banjir. Misalnya di Lawas, sudah tiga kali kita menghadapi situasi banjir. 

“Pada hujung tahun ini juga kita perlu berhati-hati kerana bencana banjir dijangka akan berlaku disebabkan hujan lebat berterusan dan air pasang yang boleh menjejaskan harta benda dan nyawa. 

“Justeru, kita harus berjaga-jaga dalam situasi ini dengan bersiap sedia daripada awal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sambutan Pra Tahun Baharu 2022 di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Selasa. 

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan  terima kasih banyak kepada semua yang terlibat bekerja keras dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak dan memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.82 Bukit Sari. 

“Ini adalah satu kejayaan untuk kita meneruskan perjuangan dalam memajukan Sarawak dan DUN N.82 Bukit Sari. 

“Memang saya mempunyai berkeyakinan bahawa kita akan beroleh kemenangan bergaya. 

“Alhamdulillah kita telah menang 76 kerusi. Bagaimanapun, kita rasa sedih apabila DUN N.81 Bakelalan masih gagal dikembalikan kepada GPS,” ujarnya. 

Turut sama hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi Pegawai Daerah Lawas  Ladin Atok, Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek, Datuk Dr Wahbi dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS

add comment