Sarawak Dan Kelantan Beralih Ke Fasa 4 PPN Berkuatkuasa 3 Januari 2022

JUMAAT, 31 DISEMBER 2021

KUCHING : Setelah mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan bersetuju Sarawak dan Kelantan beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin, 3 Januari 2022.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Jumaat, dengan peralihan fasa bagi kedua-dua negeri tersebut, bermakna kesemua negeri di Malaysia telah beralih ke Fasa 4 PPN.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya.

Sementera itu, beliau juga menyeru kepada orang ramai agar tidak terlalu selesa kerana COVID-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.

Tambah Dato’ Seri Hishammuddin lagi, semua pihak harus terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab dengan memakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan amalkan TRIIS dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, beliau juga menambah, SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini dan keterangan SOP terkini akan dikemaskini MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.

Menteri Kanan Pertahanan itu juga mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun Tahun 2021 sarat dengan ujian dan cabaran namun semua rakyat telah dapat melaluinya bersama-sama.-EDISI UKAS

add comment