32 Pasukan Meriahkan Pertandingan Petanque Double Remaja Sarawak Di Meradong

SABTU, 1 JANUARI 2022

MERADONG: Sebanyak 32 pasukan lelaki dan perempuan dari Daerah Saratok, Kabong, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Meradong menyertai Pertandingan Petanque Double Remaja Sarawak 21 Tahun Ke Bawah (TKB) Tahun 2021 yang diadakan di Gelanggang Petanque Daerah Meradong pada Jumaat.

Pertandingan tesebut dianjurkan oleh Kelab Petanque Daerah Meradong dan disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Ding Kuong Hiing.

Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Ding berharap setiap peserta mengambil pengalaman dalam pertandingan tersebut untuk meningkatkan corak permainan mereka dan terus berlatih dengan gigih supaya dapat pergi dengan lebih jauh dalam sukan berkenaan.

Katanya, pertandingan itu juga menjadi medan terbaik kepada semua peserta mengeratkan hubungan persahabatan dan saling mengenali antara satu sama lain.

“Saya berharap, melalui pertandingan petanque ini, ia akan menjadi pentas utama untuk mencungkil bakat dan yakin permainan ini akan maju ke peringkat antarabangsa dan mencungkil nama Daerah Meradong pada masa akan datang.

“Saya amat berbangga kerana ada atlet petanque dari Daerah Meradong yang mewakili Sarawak dan Malaysia telah berjaya memenangi pingat dalam pertandingan dan yakin Meradong akan menjadi destinasi yang terbaru untuk melahirkan atlet petanque yang berbakat,” katanya.

Beliau juga akan berusaha menaiktaraf padang petanque sedia ada menggunakan kelulusan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun yang akan datang sebagai tanda sokongan untuk mengangkat sukan itu di Meradong ke peringkat yang lebih tinggi.

Di akhir ucapannya beliau turut menyumbang dana berjumlah RM3,000 kepada Kelab Petanque Daerah Meradong sebagai sokongan untuk Pertandingan Petanque Double Remaja Sarawak 21 TKB Tahun 2021. – EDISI UKAS

add comment