Kerajaan Fokus Rancakkan Pemulihan Ekonomi: PM

SABTU, 1 JANUARI 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif dan bantuan bagi memulihkan semula ekonomi serta membantu meringankan beban rakyat termasuk Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah berbanding RM500 yang telah mula diberikan sejak 27 Disember yang lalu.

Selain itu katanya, Kerajaan juga mengumumkan baucar tunai sebanyak RM500 Ringgit bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir.

Ini katanya termasuk diskaun 50 peratus ke atas alat ganti dan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih bagi pemilik kenderaan PERODUA dan PROTON yang terkesan.

Manakala bagi bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, Kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.

“Selain daripada itu, Kerajaan juga menyediakan bantuan tunai sehingga RM5000 bagi setiap keluarga bagi kerja pembaikpulih rumah, manakala bag kerosakan serius sebanyak RM15,000 akan diperuntukkan manakala RM56,000 diperuntukkan bagi kerosakan menyeluruh manakala RM2500 diperuntukan bagi pembelian barangan keperluan,” katanya dalam Perutusan Khas sempena Tahun Baru 2022 pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menambah melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani pada 13 September lalu, cabaran ini dapat ditangani atas semangat Keluarga Malaysia dengan merentasi perbezaan politik.

“Melalui kestabilan ini, Alhamdulillah, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) diluluskan tanpa sebarang pindaan pada 7 Oktober, begitu juga dengan Bajet 2022 turut lulus dengan sokongan majoriti pada 13 Disember lalu.

“Saya amat gembira dan terharu apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan oleh kesemua Ahli Parlimen yang hadir seramai 200 orang. Ini membuktikan semangat kesatuan dalam perbezaan. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap Ahli Parlimen yang menyokong,” katanya lagi.

Beliau juga menambah, tahun 2021 juga menyaksikan permulaan usaha Kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan ekonomi negara yang telah membuahkan hasil dengan pencapaian positif beberapa indikator-indikator utama ekonomi makro dan rakyat.

Selain itu katanya, 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.

Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah  memberikan komitmen bagi mencapai status ‘carbon-neutral nation’ pada tahun 2050.

“Dari aspek sosial dan kesejahteraan rakyat pula, fokus Kerajaan adalah untuk memenuhi keperluan perumahan generasi muda Keluarga Malaysia.

“Aspek ini akan turut melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence di mana konsep Smart Safe City akan diperkenalkan secara berperingkat bermula di bandar-bandar utama seluruh negara. Inilah antara terjemahan halatuju ekonomi yang bakal digerakkan pada tahun 2022,” tambahnya lagi. – EDISI UKAS

add comment