Dayang Norazah Meriahkan Hari Keluarga PPWS Kampung Agropolitan Seduku Baru

AHAD, 2 JANUARI 2022

LINGGA: Dayang Norazah Awang Sohor yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 memeriahkan Hari Keluarga Pertubuhan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Agropolitan Seduku Baru, Lingga, pada Sabtu.

Berucap ringkas dalam program itu, Dayang Norazah turut merakamkan ucapan tahniah kepada PPWS Cawangan Agropolitan Seduku kerana berjaya mengadakan aktiviti Hari Keluarga PPWS dan berharap program seumpama ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara semua.

Di samping itu, beliau turut mengucapkan selamat tahun 2022 kepada semua yang hadir dan berharap semua ahli PPWS akan terus bekerjasama dan mengambil bahagian dalam apa jua program yang dianjurkan oleh PPWS.

Hari Keluarga PPWS merupakan program saban tahun yang diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti senaman, pertandingan mewarna kanak-kanak dan sukaneka.

Hadir sama, Ketua Kampung Agropolitan Seduku Baru, Mohammad Salleh Jon, Pengerusi PPWS Cawangan Kampung Agropolitan Seduku Baru, Rogayah Julai dan tetamu lain. -EDISI UKAS

add comment