Hospital Miri Duduki Tempat Ke-3 Berjaya Kumpul Darah, Permintaan Darah Meningkat Setiap Tahun

AHAD, 2 JANUARI 2021

MIRI: Hospital Miri menduduki tempat ketiga dalam pengumpulan darah di Sarawak selepas Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching dan Hospital Sibu.

Bagaimanapun, permintaan darah di Hospital Miri juga meningkat setiap tahun.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Miri Dato Sri Lee Kim Shin, peningkatan ini disebabkan berlakunya kes-kes kecemasan dan musim perayaan. 

“Misalnya, pada tahun 2020 Hospital Miri telah menggunakan 7,001 pain darah dan sehingga 31 Disember 2021 sebanyak 7,151 pain.

“Manakala, pada tahun 2020 pula jumlah kutipan darah adalah 7,101 pain dan jumlah ini meningkat pada tahun 2021 ialah 7,371 pain. 

“Penggunaan darah tahun 2020 adalah rendah kerana wabak COVID-19 dan banyak pembedahan elektif telah ditangguhkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Kempen Derma Darah Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) di PBSM Miri pada Ahad. 

Tambahnya, Hospital Miri memerlukan 170 hingga 190 pain darah setiap minggu dan perlu mengumpul sekurang-kurangnya 600 hingga 750 pain sebulan. 

Mengulas lanjut kempen ini, Dato Sri Lee mengucapkan tahniah kepada NSJA yang berjaya menganjurkan aktiviti ini dan secara aktif menganjurkan kempen derma darah semasa pandemik COVID-19 di Bahagian Miri. 

“Ini telah melayakkan NSJA menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Penganjur Derma Darah Paling Responsif semasa PKP di negara ini sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan pada 19 Jun 2021 daripada Kementerian Kesihatan,” ujarnya. 

Sejak Mac 2020, NSJA telah berjaya menganjurkan kempen derma darah buat kali ke-5 yang berjaya mengumpul sebanyak 503 pain darah dan hari ini merupakan kempen derma darah ke-6 yang dianjurkan NSJA.

Hadir sama Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siiew Sang, Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah PBSM Miri Kaunselor Karambir Singh dan Presiden NSJA Andy Jong.-EDISI UKAS

add comment