AHAD, 02 JANUARI 2022
JEMORENG : Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jemoreng telah mengadakan Majlis Kesyukuran Jentera Parti PBB/GPS di Dewan Masyarakat Pergau, pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya bersama Ketua Wanita PBB Jemoreng, Rokiah Jahar serta Ketua-Ketua Ranting, Wanita dan Pemuda.
Majlis diadakan sebagai menghargai jentera parti yang telah banyak membantu dalam kemenangan GPS kali ini sebagai satu lagi sejarah baru untuk Sarawak selepas merdeka, yang mana majoriti yang lebih besar adalah hasil dari kepercayaan rakyat kepada kepimpinan Sarawak dan komitmen oleh wakil rakyat yang amat diyakini.
Menurut Dato’ Dr Juanda, majoriti besar ini menunjukkan rakyat tahu hanya GPS mampu mentadbir kawasan dan negeri ini dan seterusnya akan membawa lebih banyak projek masuk ke kawasan ini untuk pembangunan yang lebih pesat dalam masa lima tahun akan datang.
Sementara itu, ahli jentera parti turut meluahkan kegembiraan atas kemenangan kali ini yang semakin meningkat serta ucapan tahniah atas lantikan Dato’ Dr Juanda sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsmen). – EDISI UKAS