Kerajaan Tangguhkan Sementara Kebenaran Perjalanan Umrah Bermula 8 Januari 2022

AHAD, 2 JANUARI 2022

KUCHING: Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan menangguhkan kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari 2022 sehingga tarikh baharu akan dimaklumkan kelak. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas didapati 1,306 atau 11.76 peratus daripada 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia telah dikesan positif COVID-19 sehingga 30 Disember 2021.

“Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19. 

“Selain itu, langkah ini juga diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah boleh dibenarkan semula,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya pada Sabtu. 

Ujar Khairy lagi, kerajaan juga mencadangkan tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah ditangguhkan berkuatkuasa 1 Januari 2022, menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel bermula 3 Januari 2022 dan membenarkan jemaah yang akan berlepas ke tanah suci pada 1 hingga 7 Januari 2022. 

Jelasnya lagi, sehingga 30 Disember 2021, terdapat 9 kluster yang berlaku melibatkan jemaah umrah antaranya 5 kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron, satu kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron – menunggu keputusan Whole Genomic Sequencing (WGS) dan 3 kluster melibatkan kes-kes indeks positif COVID-19 yang bukan varian Omicron. 

Tambah Khairy lagi, bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, mereka perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA apabila tiba di Malaysia.

“Bagi jemaah umrah yang akan pulang ke Malaysia, mereka perlu mematuhi perkara-perkara berikut, melakukan ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum tarikh berlepas, melakukan ujian RT-PCR pada hari ketibaan, menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama 7 hari di stesen kuarantin.

“Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag, melakukan ujian RT-PCR pada hari ke-5; dan jemaah umrah hanya akan diberi pelepasan dari perintah pengawasan dan pemantauan pada hari ke-8, sekiranya tiada pelanjutan kuarantin dan keputusan ujian RT-PCR pada hari ke-5 adalah negatif COVID-19,” tambahnya. 

KKM ingin menasihatkan semua jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah atau kediaman, supaya mematuhi SOP dan tatacara kuarantin yang ditetapkan termasuk tempat dan tempoh kuarantin.-EDISI UKAS

add comment