Pelan Induk Pembangunan Pacu Kemajuan Daerah Gedong

AHAD, 2 JANUARI 2022

GEDONG: Daerah Gedong bakal menjadi hab pembangunan yang strategik menerusi pelan induk pembangunan yang sedang dirangka oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebuah makmal akan diadakan dalam bulan ini bagi menilai serta mengkaji tahap pembangunan dalam pelan induk tersebut.

Menurutnya, makmal tersebut akan dianggotai pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri termasuk ketua masyarakat yang akan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

“Dan tadi kita telah membuat satu penilaian di mana kita akan mempunyai makmal untuk kita mengkaji tahap pembangunan dan pedekatan seperti dalam ‘master plan’.

“Ianya hendaklah dibincang lebih terperinci dan akan dilaksanakan selepas sahaja ia diputuskan oleh makmal itu kelak,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja di Gedong pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, Gedong dan Simunjan juga akan dibangunkan menjadi sebuah bandar baharu.

Jelas beliau, Gedong akan dihubungi dengan rangkaian sistem jalan raya yang menghubungkan Kota Samarahan, Sebuyau, Lingga serta kawasan lain.

“Gedong dan Simunjan akan menjadi ‘township’ dalam satu pembangunan jalan raya dari Pan Borneo Highway di mana jalan sekarang ini akan diperbesarkan dan ia akan menjurus ke Kota Samarahan, Sebuyau dan Lingga dan ini akan memberi limpahan pembangunan di kawasan tersebut,” tambahnya lagi.

Turut hadir mengiringi Ketua Menteri ialah Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Dato’ Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta pegawai-pegawai kerajaan lain. -EDISI UKAS

add comment