Kemenangan Di DUN Muara Tuang Kejayaan Bagi Seluruh Rakyat Muara Tuang

ISNIN, 3 JANUARI 2022

KOTA SAMARAHAN: Dato’ Idris Buang menyifatkan kemenangannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 lepas sebagai kejayaan bagi seluruh rakyat di konstituensi berkenaan.

Berucap dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Ahli KMKK Kota Samarahan pada Ahad, beliau berkata, seluruh jentera parti telah bekerja keras dalam memastikan kemenangan tersebut.

Jelasnya, beliau yang menyandang kerusi DUN Muara Tuang akan terus membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya berasa kagum dengan komitmen dan kerjasama pemimpin dan jentera parti yang bertungkus lumus membantu beliau dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dengan cemerlang di DUN Muara Tuang.

“Ingin saya katakan selepas kita menang, kita berjanji berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan segala yang dipohon oleh sesiapa di dalam DUN Muara Tuang dan itu tekad kita,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Temenggong Bahagian Samarahan, Chek Bujang, Pemanca Bahagian Samarahan, Seli Hasan serta tetamu lain.

Sementara itu, beliau menyeru seluruh warga DUN Muara Tuang untuk kekal bersatu hati dan menyokong penuh agenda pembangunan yang dibawa kerajaan negeri. -EDISI UKAS

add comment