MPP Siap Siaga Hadapi Banjir

ISNIN, 3 JANUARI 2022

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sudah bersiap siaga menghadapi banjir yang dijangka berlaku susulan cuaca tidak menentu ketika ini.

Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kuching akan bekerjasama bagi memastikan kesiapsiagaan tersebut. 

“Antara agensi di bawah JPBB Kuching termasuklah MPP, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan agensi lain.

“Kesemua agensi ini akan turun membantu dalam menangani situasi banjir jika berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 8.5, Jalan Batu Kitang pada Isnin. 

Tambah Lo lagi, banjir yang dijangka berlaku itu bukanlah yang pertama dan sering berlaku ketika musim tengkujuh. 

“Kadang-kala banjir besar berlaku dalam tempoh 10 tahun atau 15 tahun sekali dan banjir kecil 4 atau 5 tahun sekali.

“Jadi, setiap kali banjir kita ada menyediakan tempat perlindungan untuk penduduk berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti di dewan, masjid dan surau.

“Ini termasuklah bagi penduduk di yang tinggal di kawasan Kampung Rantau Panjang, Kampung Sinar Budi Lama dan Batu Kitang serta di seluruh Sarawak,” tambahnya.-EDISI UKAS

add comment