SOP PPN Fasa 4 Akan Dimuat Naik Di Laman Web MLGH Pada 4 Januari Ini

ISNIN, 3 JANUARI 2022

KUCHING: Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi  Pelan Pemulihan Negara  (PPN) Fasa 4 di Sarawak yang berkuat kuasa pada Isnin akan dikemas kini dan dimuat naik pada 4 Januari 2022.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, SOP PPN Fasa 4 itu adalah di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH). 

“Berikutan peralihan Sarawak ke PPN Fasa 4 pada 3 Januari 2022, SOP di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak akan dikemas kini dan dimuat naik pada 4 Januari 2022.

“Sehubungan itu, rakyat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan SOP yang ditetapkan walaupun Sarawak berada dalam PPN Fasa 4,” katanya.

Pada 31 Disember 2021, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Sri Hishamuddin Hussein dalam kenyataannya mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju bahawa Sarawak dan Kelantan beralih ke PPN Fasa 4 berdasarkan penilaian risiko semasa yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).-EDISI UKAS

add comment