Varian Omicron Boleh Cetuskan ‘Long COVID-19’ Antara 20 Hingga 30 Peratus

ISNIN, 3 JANUARI 2022

KUCHING: Penularan varian Omicron COVID-19 ketika ini dikhuatiri berupaya mencetuskan risiko ‘Long COVID-19’ atau kesan kesihatan berpanjangan antara 20 hingga 30 peratus terhadap individu yang dijangkiti. 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, varian Omicron ini sememangnya dilaporkan kurang ganas berbanding varian sebelum ini seperti Delta.

Bagaimanapun, varian yang berasal dari Afrika Selatan itu mempunyai kemampuan untuk menjangkiti lebih ramai individu dalam tempoh singkat.

“Walaupun dilaporkan kurang keganasan (atau virulens) tetapi lebih ramai boleh dijangkiti dalam masa yang singkat.

“Mereka yang rentan lebih berisiko untuk masuk ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

“Walaupun tiada gejala atau mengalami gejala ringan, virus ini boleh sebabkan kesan long COVID-19 antara 20 hingga 30 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujarnya lagi, KKM memerlukan banyak data-data semasa untuk menilai kesan impak varian Omicron ini. 

Varian Omicron yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November tahun lalu kini kini telah dikesan di sekurang-kurangnya tujuh negeri di Malaysia, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Hasil saringan dan pengesahan lanjut menerusi ujian jujukan penuh (WGS), setakat Ahad Malaysia telah merekodkan 64 kes Omicron serta 5 kluster membabitkan varian berkenaan, selain 35 kontak rapat di 12 daerah.-EDISI UKAS

add comment