Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Sibu Capai KPI Pertuduhan Terbaik Dan Tertinggi Di Sarawak

SELASA, 4 JANUARI 2021

SIBU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu telah mencatatkan prestasi cemerlang apabila berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pertuduhan yang telah ditetapkan jabatan dan merupakan pencapaian yang terbaik dan tertinggi di Sarawak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Supritenden Dr.Collin Babat memberitahu, sebanyak 26 kes Macau Scam dilaporkan di daerah Sibu melibatkan nilai kerugian melebihi RM2.7 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 berbanding 38 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2020 dengan nilai kerugian melebihi RM2.5 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kes telah berjaya dituduh di mahkamah manakala 23 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Ujar Collin lagi, setiap laporan polis yang diterima akan disiasat dengan terperinci mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Jenayah Komputer 1997, dan sebagainya.

“Penyiasatan kes jenayah komersil lazimnya akan melibatkan akaun bank, nombor telefon, akaun media sosial dan sebagainya.

“Bagi penyiasatan melibatkan akaun bank, prosedur-prosedur tertentu perlu dipatuhi oleh pihak polis untuk mendapatkan maklumat pemilik akaun bank sepertimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APIK) dan Akta Institusi kewangan Pembangunan (AIKP) sebelum maklumat didedahkan oleh Financial Service Provider (FSP) berkenaan,” katanya lagi.

Beliau menambah, pihak polis tidak boleh mengambil tindakan dengan sewenang-wenangnya dan mengenepikan prosedur yang telah ditetapkan serta undang-undang yang telah diperuntukan.

“Oleh itu, semua pihak harus memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan tugas dengan telus mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak polis untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang modus operandi terkini jenayah penipuan seperti ceramah di jabatan-jabatan kerajaan, sekolah, komuniti, rumah ibadat dan sebagainya.

“Di samping itu, aktiviti rondaan yang dijalankan oleh AMANITA Ibu Pejabat Daerah Sibu serta hebahan melalui media massa dan media sosial turut menjadi saluran penyampaian maklumat kepada masyarakat,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS

add comment