Banjir Kilat Berlaku Di Beberapa Kawasan Di Limbang

SELASA, 4 JANUARI 2022

LIMBANG: Hujan lebat tanpa henti dan pertembungan air pasang besar pada Isnin telah mengakibatkan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan iaitu di Kampung Batu Bakarang, kawasan Bandar Limbang, Taman Sri Patiambun dan Taman Damai Limbang.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama dengan agensi-agensi yang lain iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Sarawak Energy Berhad (SEB), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Limbang dan pihak kontraktor binaan telah memantau dan memastikan semua kawasan berada dalam keadaan selamat serta membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat dengan memindahkan barang mereka ke kawasan yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, ketangkasan beberapa agensi telah menyelesaikan kawasan tanah runtuh dengan membuat benteng sementara dan memotong dahan-dahan kayu yang menghalang lalu lintas membolehkan orang ramai melalui jalan-jalan yang berisiko seperti sediakala namun haris berhati-hati kerana pergerakan tanah masih belum berhenti.

Pembersihan kawasan perparitan mendapati sampah sarap seperti mesin basuh, meja makan, tong sampah dan pelbagai jenis kotak sama ada kayu mahupun kertas telah dibuang ke dalam longkang besar sehingga menyebabkan pembentung tersumbat dan melambatkan proses pengaliran air keluar secara lancar.-EDISI UKAS

add comment