Jenazah Awang Ahmad Fadlizan Selamat Tiba Di Kuching

SELASA, 4 JANUARI 2022

KUCHING: Jenazah Allahyarham Lans Koperal Awang Ahmad Fadlizan Awang Zambree yang meninggal dunia pada Isnin akibat kemalangan jalan raya telah selamat sampai di Kuching malam Isnin.

Allahyarham yang bertugas di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan telah terlibat dalam satu kemalangan bersama dua lagi sepupunya membabitkan kereta jenis Perodua Myvi.

Kereta yang dipandu mangsa telah merempuh besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya ketika dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Senawang.

Allahyarham disahkan maut di lokasi kemalangan susulan mengalami kecederaan parah di bahagian dada manakala seorang lagi penumpang berusia 30 tahun yang merupakan anggota tentera cedera ringan di kepala dan leher serta seorang lagi berusia 20 tahun cedera di kaki, dengan kedua-duanya dirawat di Zon Kuning Hospital Rembau.

Jenazah telah dibawa ke kampung halaman keluarganya di Pusa, Betong bagi urusan pengkebumian.-EDISI UKAS

add comment