Kemenangan Di DUN Satok Dalam PRN-12 Sarawak Adalah Kemenangan Rakyat – Dato Ibrahim

SELASA, 4 JANUARI 2022

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki menyifatkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak baru-baru merupakan kemenangan rakyat.

Menurutnya, kemenangan bersama rakyat itu menjadi semangat buat dirinya untuk meneruskan legasi perjuangan bekas ADUN Satok yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah  mentransformasikan kawasan Satok selama ini. 

“Oleh itu, saya harus bekerja keras dan usaha bersepadu daripada rakyat khususnya ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan dan ranting amat diperlukan untuk memakmurkan kawasan Satok,” katanya pada Majlis Kesyukuran Kemenangan PRN-12 Sarawak DUN Satok pada Isnin. 

Beliau yang telah berkecimpung dalam politik selama 36 tahun itu menambah, selepas memenangi PRN-12 Sarawak pada 18 Disember 2021, kehidupannya mula berubah. 

“Saya memberitahu keluarga kehidupan saya selepas ini akan berubah kerana saya juga kepunyaan rakyat. 

“Saya bersikap terbuka dan pendengar yang baik. Jika ada teguran dan kritikan datanglah berjumpa dengan saya. 

“Kita bersama-sama membantu memaju dan memakmurkan Satok,” katanya.

Pada PRN-12 Sarawak lalu, Dato Ibrahim telah berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dengan majoriti undi 6,033 mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).-EDISI UKAS

add comment